30 Jun 2011

Novel baru


Novel-novel yang baru dibeli selasa lepas, tak tau bila boleh habis baca , kalau sedap sekejap aje, mungkin akan diulang baca samapai 2/3 kali.

26 Jun 2011

Tujuh petanda kebahgiaan dunia

Tujuh petanda kebahgiaan duniaDari Ibnu Abbas ra, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

1.  Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur
2.  Al azwaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh
3.  Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh
4   Albiatu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita
5.  Al malul halal, atau harta yang halal
6. Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama
7.  Umur yang barakah – ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.

Sayu

Assalamualaikum

Baru pukul 8.12 pagi, cik ton dah rasa sunyi dan sayu pulak rasa hati, tak tahu la kenapa, agaknya sebab amalina, ain dan umairah belum bangun lagi kut dan suami pulak dah pergi kerja..,maklum la kerja sendiri tak tentu masa kadang-kadang. Cik ton pulak seawal-awal pagi dah bereskan semua kerja rumah, maklum la sejak bibik bercuti ni rutin harian bertukarla tapi alhamdulillah semuanya boleh diatur.

Cik ton sengaja biarkan diaorang tidur semula lepas subuh tadi, sebab semalam masing-masing kepenatan kerana dari pukul 9 pagi sampai la ke pukul 5.30 petang kami semua berada di kl, kerana menenami amalina mengambil gambar untuk tugasan dia, sebenarnya amalina nak pergi sorang-sorang tapi biasa la mana ayahnya mana nak kasi, akhirnya kami semua kena ikut sekali, sampai ain dan umairah pun surrender ajak ayah cari tempat duduk nak merehatkan kaki .

Tapi ok jugak dalam boring-boring ni boleh update blog tanpa gangguan dari si kecik tu.

25 Jun 2011

11 ADAB MAKAN yang baik

1.Makan hanya bila terasa lapar.

2.Basuh tangan dan kuku sehingga bersih dengan air dan seboleh-bolehnya dengan sabun.

3.Sebelum makan hendak lah membaca “Bismillah…” dan doa makan.

4.Makan dengan tangan sebagai ganti sudu dan garpu. Rasionalnya makan dengan tangan ialah kerana ia dapat membantu penghadaman disebabkan terdapat aliran yang dipanggil ‘bio-current’ yang apabila tersentuh dengan makanan, ia bertindak sebagai enzim untuk menghadamkan makanan dengan cepat didalam perut. Ini adalah sebab mengapa makanan yang disentuh dengan tangan cepat rosak atau basi.

5.Tinggalkan kerja-kerja otak seperti berfikir lain-lain apabila hendak makan.Badan dan fikiran perlu girang dan tenang.

6. Seboleh-bolehnya dinding bilik makan hendaklah berwarna merah jambu kerana ini boleh mendatangkan rasa girang dan membantu pencernaan.

7. Berhenti makan sebelum kenyang. Kekenyangan yang berlebihan memudaratkan jantung, menganggu penghadaman dan menyukarkan tidur.

8. Berehat sekejap selepas makan dan jangan tergesa-gesa membuat sesuatu. Jangan makan makanan lama. Banyakkan makan makanan segar. Suri rumah adalah dinasihatkan supaya menyediakan makanan yang segar dan sedap, berbau lazat, menarik pandangan dan berlainan jenis setiap kali waktu makan.

9. Surirumah hendaklah bermanis muka ketika menghidangkan makanan, memakai pakaian yang bersih dan berwarna indah.


10. Pastikan dapur bersih dari pembiakan kuman dan menutup makanan dari terdedah.


11.Berpegang pada prinsip ‘makan untuk hidup dan beribadah, bukan hidup untuk makan’.

SUMBER MAJALAH MIDI.

24 Jun 2011

Bunga Yang Cantik Jarang Wangi

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, “Awak ni cantiklah”, maka akan menguntumlah sebutir senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah… siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin/mukminah yang merasa dirinya miskin dengan Rabbnya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan segala pujian dan sanjungan manusia.

Wanita yang cantik selalu ditimpa ‘perasan’ kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis, dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang beribu.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikannya, maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya.

Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai. Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang paling indah.

Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada.

Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat kepada suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka.  Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa.

Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.

Wanita yang tidak cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia.. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia.. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Allah. Baik buruk, cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian.

Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Allah? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya?

Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat. Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula diri wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Allah itu, untuk apa digunakan.

Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Allah. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang.

Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran :

   “Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya padaNyalah kamu meminta pertolongan.” An-Nahl: 53.

Jadilah bunga yang cantik dan wangi..Wallahu a'lam..

(ehsan dari kawan yang ingin kita semua berkongsi pengetahuan)

23 Jun 2011

Apabila ANDA

1.   APABILA semuanya serba tidak kena, dan tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat, ingatlah…. Anda masih boleh bersandar kepada Dia Yang Maha Mengasihi.

2.   APABILA hidup diselubungi kegelapan, semuanya silap, carilah sinar itu dari Dia Yang Memberi Cahaya.

3.   APABILA dibelenggu masalah sedangkan tiada sesiapa pun yang mahu mengambil kisah, ingatlah pada Dia yang tidak pernah melukakan hatimu. Dia Maha Adil.

4.   APABILA hati terluka dan kesakitan itu menumbangkan kudratmu, janganlah berputus asa kerana Dia melihat segala-galanya.

5.   APABILA lemah tidak bermaya sedangkan perjalanan masih jauh perlu diharungi, carilah kekuatan itu dari Yang Maha Perkasa.

6.   APABILA hidup ini dirasakan seperti beban, segala-galanya goyah, bangunkan semula kota semangat itu dengan keyakinan bahawa itulah iradat-Nya.

7.   Apabila jalan di depan digelapi mendung, sedangkan tiada sesiapa di sisi sudi menemanimu, carilah jalan lurus itu dari Dia, yang menjadi satu-satunya panduan hidup.

8.   APABILA semua orang di sekeliling tidak mahu mendengar suara dan keluhanmu, jangan kecewa kerana Dia Maha Mendengar.

9.   APABILA miskin dan papa, anda terperangkap dalam kesempitan, ingatlah kepada Dia Yang Maha Kaya.

10.  APABILA engkau dalam kedukaan sedangkan tiada tempat untuk melarikan diri, mengadulah kepada Dia Yang Satu.

11.  APABILA keseorangan dan kedukaan itu seperti tiada penghujungnya, serahkan dirimu kepada Dia.. satu-satunya tempat yang boleh digantungkan harapan.

12. Dan APABILA parut lukamu dicederakan lagi, hatimu dicakari kebimbangan, ingatlah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

(ehsan dari kawan sepejabat)

22 Jun 2011

9 sebab hati tak bahagia

a ) Pemarah
        Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak didalam diri manusia.
Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.

b ) Pendendam
        Tersembunyi ibarat mengumpul lahar didalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam.Hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu.

c ) Hasad dengki
        Amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana memiliki sifat ketuhanan.

d ) Bakhil
        Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil, kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manafaat pada orang lain kerana kadang-kadang rezeki itu Allah beri melalui makhluknya.

e) Tamak
        Orang yang tidak puas dengan sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau beberapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga (lagipun orang tamak selalu rugi).

f) Tidak sabar
        Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.

g)  Ego
        Ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.

h) Riak
        Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon didepan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji. Ia akan mengurangkan amalnya.

i) Cinta dunia
        Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu (bila mati Cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh atau solehah). Cinta dunia merupakan ‘neraka dunia” kerana dunia itu ‘panas’ akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan.

 SUMBER DARI SIASAH

21 Jun 2011

Homeworks depan tv

    Assalamulaikum




  
gaya umairah buat kerja sekolah sambil layan karton., melangut jer depan tv. Nasib baik ayah balik lambat dari kerja. Dia minat Tom and Jerry, cik ton pun tumpang sekali la.

Bepang

 Assalamulaikum




Mesti kawan-kawan pernah makan bepangkan, kacang yang disalut gula, tetapi gambar diatas ni bukan bepang kacang tu, tapi bepang yang dibuat dari bijan dan dicampur sikit dengan pulut hitam, rasanya pahit sikit, tapi cik ton suka sedap, manis-manis pahit.

Kawan cik ton yang kasi, dia beli dikelantan.

Catatan Ilmu

~ Kehancuran Manusia ~

                  Antara pesanan dari Saidina Hassan cucu Rasulullah SAW bahawa kehancuran manusia dalam tiga perkara iaitu :

  . Kesombongan ~ Ia menyebabkan hancurnya agama dan kerananya iblis dilaknat

  . Ketamakan ~ Rasa tamak adalah musuh jiwa dan kerananya Adam dikeluarkan dari syurga.

  . Sifat hasad (dengki) ~ Ianya pusat kejelekan dan kerananya Qabil membunuh Habil

10 Sifat Mazmumah (Tercela)Sebagaimana digariskan oleh Imam Al-Ghazali:-

      Banyak makan
      Banyak bercakap
      Marah
      Hasad
      Bakhil
      Cintakan kemegahan
      Cintakan dunia
      Bangga diri
      Ujub (hairan diri)
      Riya’ (menunjuk-nunjuk)

Marilah kita berusaha mengikis sifat mazmumah dan menukarkannya kepada sifat mahmudah iaitu sifat terpuji.

Kecemerlangan dan keutuhan umat Islam dahulu disandarkan pada pembentukan akhlak yang mulia menerusipengurusan hati.

Kebersihan hati adalah kunci untuk membuka pintu syurga.

Sedarlah bahawa….

 *Anggunnya peribadi kita bermula dengan .......... Anggunnya hati kita*

20 Jun 2011

Cuti

Assalamulaikum

Hari ni cik ton ambil cuti, sebab mak mertua datang semalam tapi tadi tengahari dah balik semula ke Johor.

Macam biasa la kalau cuti bangun tetap awal pagi cuma hari ni tak perlu masak jadi bangun jam 5.30am gitu, start aje dari bangun memang tak duduk-duduk la, ada aje kerja yang perlu dilakukan. Dah semestinya pagi ni kena hantar Umairah pergi sekolah agama.

Hari ni masak ain tolong, sejak bibik bercuti ni anak-anak jadi rajin sikit, apa taknya ibu asyik menyuruh aje. Hari ni cik ton masak kari, jadi ain minta tolong kopek bawang, dari hari sabtu lagi ain tolong kopek bawang bila nak masak, siap tolong blender sekali, ok la walaupun lambat, gelihati tengok nak kopek bawang pun nak bawang cantik-cantik aje, tapi Alhamdulillah boleh la bila disuruh tak pulak merungut agaknyer dah besarkan tahu tanggungjawab kena bantu ibu, sekarang ni kerja angkat kain kat ampaian memang kerja ain dan umairah lah. Tadi suruh Umairah goreng sayur wah! bukan main suka lagi dia, siap pesan ibu kalau ada nak masak apa-apa lagi panggil umairah ye.

Hari ni Umairah terlebih manja, dah siap pakai baju sekolah, suruh cik ton suapkan dia makan pulak. biasa la kan bila ibu ada kat rumah.

Hari ni separuh hari berborak aje dengan mak mertua, biasa la..dah lama tak jumpakan..macam-macam la yang disembangkan.

Petang ni dah beres semua baru la boleh rehat kejap sambil taip entry dan jengah blog kawan-kawan.


*
   Hidup ini terlalu singkat jadi jangan lah dihabiskan dengan hanya bersedih*

Info Sihat

1. Pil Vitamin D kurangkan Risiko - Kanser Payu Dara

    Pasukan penyelidik Cancer Care Ontario, Kanada, menjelaskan pengambilan pil vitamin D setiap hari dapat mengurangkan risiko untuk menghidap kanser payu dara di kalangan wanita sebelum dan selepas menopaus.
  Kajian yang diterbitkan di dalam American Journal of Clinical Nutrition itu turut menyatakan bahawa amalan memakan pil vitamin D berupaya mengurangkan sehingga 24 peratus risiko untuk mendapat kanser tersebut.
   Ketua penyelidik, Dr Laura N. Anderson, menerangkan bahawa sel payu dara mempunyai saraf penerima yang mampu bertindak balas dengan baik terhadap vitamin D. Tindak balas itu bukan sahaja mampu meningkatkan nutrien tetapi turut ampuh dalam mengawal pembiakan sel kanser.


2. Kurang Karbohidrat punca Bau Mulut.

    Wanita sering mengimpikan tubuh ramping dengan pinggul kecil. Hasrat untuk memiliki tubuh idaman membuatkan mereka mengehadkan pengambilan makanan kaya karbohidrat yang dianggap boleh menggemukkan.
      Namun, tahukah anda bahawa tubuh yang kekurangan karbohidrat akan menyebabkan ketosis iaitu proses pembakaran lemak sebagai tenaga. Proses tersebut akan membentuk zat keton yang memiliki bau busuk yang akan keluar dari rongga mulut ketika berbicara dan bernafas.
      Lebih kronik, bakteria-bakteria di dalam rongga mulut akan menghasilkan lebih banyak zat sulfur apabila bercampur dengan makanan berprotein tinggi yang menyebabkan nafas dan mulut berbau atau halitosis.
    
SUMBER MAJALAH HARMONI.

17 Jun 2011

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS

Assalamualaikum

       Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”
“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?.......
petikan dari Genta Rasa.

(email ni cik ton dapat dari kawan di ofis, saja cik ton berkongsi di sini, agar kita boleh mengambil pengajaran dan selalu bersyukur.)

[Tazkirah]​: "Anak-anak Syurga" oleh Ibnu Ahmad Al Kurauwi

ANAK-ANAK syurga. Mereka bukanlah malaikat. Mereka manusia yang baru mengenal dunia. Belum sempurna  agama. Maka tidak hairan, ada yang putih akhlaknya, tidak kurang yang hitam warna nakalnya. Ibu-ibu syurga mendidik anak-anak syurga yang hitam dengan sabar, menyambut yang putih dengan syukur. Anak syurga yang hitam bangun daripada liat subuh yang kelam, kini bertatih terkial-kial membersih diri. Kadang-kadang sempat tersengguk di gigi air. Bapa-bapa syurga tidak kalah memujuk anak-anak syurga; bahawa di sebalik kelam fajar, ada pahala yang besar. Balasnya syurga yang benar!

Anak-anak syurga mahu dikelek ke rumah Tuhan. Melihat rumah Tuhan, laksana syurga yang indah lagi terbentang luas. Kata anak-anak syurga, “Bukankah telah difirmankan Tuhan bahawa syurga itu luasnya seluas langit dan bumi.”  Maka tidak hairan, laman masjid, kerap menjadi trek lumba lari berganti-ganti. Mimbar kadang-kadang menjadi acara sembunyi-sembunyi. Mihrab kadang-kadang menjadi tempat mereka beraksi. Kata anak-anak syurga lagi, “Bukankah, dinding-dinding syurga itu batu-bata daripada perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za’faran) dan buminya kasturi.”

Ibu-ibu syurga jegil mata. Meletak jari telunjuk ke bibir retak. Mengetap gigi memandang ngeri. Lantas membimbing anak-anak syurga ke saf solat yang pertama. Bapa-bapa syurga meluruskan saf anaknya dalam baris dewasa agar lekas matang agamanya. Kata bapa-bapa syurga, “Anak-anak syurga, safnya bukan bersama-sama rakan sebaya yang piatu tanpa kehadiran bapa dan ibu”. Kata ibu-ibu syurga, “Jangan memandang anak-anak syurga dengan amarah kerana merekalah yang mengajarkan anak-anak syurga akan taharah. Kata bapa-bapa syurga, “Jangan pujuk anak-anak syurga dengan laku yang buruk kerana merekalah yang memastikan sempurna segala wuduk.”

Penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan mengurut dada sambil merungut berjela-jela. Ada yang membenci mereka bagai melihat khinzir terlepas ke dalam huma.  Penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan kemudian mengusir anak-anak syurga, mengeji ibu bapa syurga kadang-kadang dengan bahasa ahli neraka. Kata mereka, anak-anak syurga itu najis! Kemudian bangga meletakkan papan tanda bahawa masjid dan surau hanya zon orang tua!

Anak-anak syurga bukan jin ataupun syaitan. Mereka manusia yang baru mengenal Tuhan. Kita, si penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan yang kononnya sempurna  agama, kadang-kadang berakhlak macam haiwan. Akhirnya anak-anak syurga memendam perasaan. Mahu diadunya kepada Aki dan Tok Wan lalu berlari pulang menyeberang jalan. Kenderaan bersimpang-siur ke kiri dan ke kanan. Anak-anak syurga melintas jalan dan asbab kepada sebuah takdir, sebuah kereta putih berbumbung hitam meragut nyawa anak-anak syurga. Luluh hati ibu syurga menyambut khabar dengan sabar. Alhamdulillah, puji bapa syurga meriba anaknya dengan linangan air mata. Kata ibu bapa syurga, “Innalillah, sesungguhnya kami hamba-Mu yang reda!”


Benarlah sabda Nabi, “Apabila anak seorang hamba itu mati, maka Allah SWT berkata kepada malaikat-Nya: Kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku. Jawab para malaikat; Benar! Berkata Tuhan lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya. Jawab para malaikat: Benar. Berkata Tuhan pula: Apa kata hambaku? Jawab para malaikat: Mereka telah memuji-Mu lalu mengucapkan Innalillah…, Berkata Tuhan: Dirikan bagi hambaku sebuah istana di syurga dan namakan istana itu dengan nama “Bait al-Hamd.” Hadis riwayat al-Termizi dan Ibn Hibban.

Hiduplah dengan bahagia

Serba sedikit senarai untuk membina hidup yang lebih bahagia.

1.    Jangan bimbang
  Kebimbangan adalah penyebab aktiviti dan fikiran kita tidak produktif


2.    Takut
   Jangan membiarkan ketakutan yang tidak beralasan menguasai hidup.Kebanyakan sesuatu perkara yang   kita takutkan tidak pernah terjadi.


3.   Jangan menyimpan dendam
  Hal inilah yang paling besar dan paling menjadi penghalang seluruh hidup kita.


4.   Selesaikan setiap masalah satu per satu
   Hanya inilah cara menangani setiap satu persoalan satu demi satu.


 5.   Semua masalah tak perlu dibawa tidur
    Hal tersebut buruk atau tidak sihat, biasakanlah tidur dengan nyaman dan nyenyak


6.    Jangan mencampuri masalah atau urusan orang lain
    Mereka memiliki cara sendiri untuk menangani setiap masalah yang mereka hadapi.


7.    Jangan hidup pada kenangan silam
   Nikmatilah masa lalu sebagai kenangan, namun jangan bergantung padanya. Konsentrasilah hidup pada kejadian ketika ini dan anda akan bahagia sekarang bukan hanya pada kenangan silam.


8.     Jadilah pendengar yang baik
    Hanya saat menjadi pendengar, seseorang mendapat dan belajar idea-idea baru berbeza dari orang lain.


 9     Jangan biarkan rasa kecewa merosak dan mengatur hidup
     Kasihanilah diri lebih dari segalanya dan aktifkan dengan kegiatan-kegiatan yang positif.

10.   HITUNGLAH RAHMAT ALLAH
     Jangan pernah melupakan rahmat ALLAH yang kita terima sekecil mana pun, semakin banyak rahmat kecil yang kita kumpulkan akan semakin bererti bagi hidup kita.



SUMBER MAJALAH MIDI.

Khasiat Si Bunga Mawar



Bunga mawar atau ros sinonim sebagai simbol cinta dan kasih sayang. Bunga mawar juga mempunyai khasiat yang sangat hebat.

Kaya Vitamin C

Bunga mawar boleh dilihat dalam pelbagai jenis dan warna. Rona Canina adalah antara spesies bunga mawar yang kaya kandungan vitamin C yang sangat tinggi. Malah jumlah vitamin yang terkandung didalamnya adalah empat kali ganda daripada buah anggur hitam (blackcurrant) dan lapan kali ganda lebih banyak daripada buah limau.
Dalam pada itu, kelopak bunga mawar juga memiliki khasiat tersendiri. Ia mengandungi pelbagai vitamin bermula vitamin A hingga E yang baik untuk kulit agar lembap dan sentiasa segar.

RAHSIA DI SEBALIK WARNA BUNGA MAWAR.

1. Mawar Merah
    Pada dasarnya merah melambangkan keberanian. Untuk warna bunga, rona ini mewakili lambang perasaan cinta dan sayang. Malah warna ini turut membawa maksud perasaan cinta yang disulami dengan rasa hormat yang tinggi.

2. Mawar Merah Jambu/Pink
    Sesuai diberikan pada seseorang yang diminati. Bukan itu sahaja, warna ini turut membawa maksud terima kasih dan rasa syukur yang mendalam.

3. Mawar Putih
    Mawar putih paling sesuai untuk sahabat. Ini kerana putih mencerminkan persahabatan sejati. Malah, putih juga bererti ketulusan cinta dan sikap mengambil berat dengan orang lain.

4. Mawar Kuning
    Kuning menandakan salam perkenalan. Tidak kurang juga ada yang menganggap kuning sebagai fleksibel dan kebebasan.

5. Mawar Peach
    Mengungkap pelbagai maksud yang berbeza seperti penghargaan, apresiasi, perasaan kagum atau simpati. Juga bisa melambangkan persahabatan.

6. Mawar Oren
    Oren melambangkan semangat. Selain itu mawar rona ini boleh diberikan kepada seseorang yang ingin dikenali secara lebih dekat.

7. Mawar Biru
    Mawar ini melambangkan tentang misteri atau sesuatu yang diinginkan namun tidak dapat diraih.

8. Mawar Ungu
    Rona mawar ini merupakan simbol kesempurnaan dan pesona seseorang. Malah ia juga digunakan untuk mengekspresikan perasaan cinta pandang pertama.

9. Mawar Hitam
    Perasaan benci pada seseorang boleh diungkapkan dengan mengirirm bunga mawar warna hitam.

SUMBER MAJALAH HARMONI

16 Jun 2011

Sunset di tepi pantai

Assalamualaiku

Itu hari masa temankan umairah di tepi pantai, cik ton sempat la juga ambil gambar matahari terbenam , cuaca pun nyaman je rasa waktu tu...Terima kasih Allah ...





indah sungguh perasan cik ton pada masa tu...bila tengok perlahan-lahan matahari ditutup oleh awan. 

Info Sihat

Jarang Gosok Gigi Punca Sakit Jantung

Anda jarang menggosok gigi? Waspadalah kerana gigi kotor boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.
 
     Penelitian University College London, Scotland, mendapati individu yang jarang memberus gigi berisiko sehingga 70 peratus untuk mendapat serangan penyakit jantung.
     Sedangkan individu yang menggosok gigi dua kali sehari kurang berisiko untuk terkena serangan penyakit berbahaya itu.


SUMBER MAJALAH HARMONI.

Petua

Perut bebas kedutan

Ambil beberapa helai daum jambu dan sebuku halia. Tumbuk bahan ini sehingga lumat. Campurkan bersama sedikit air dan sedikit kapur sirih. Selepas digaul rata, sapukan pada keseluruhan perut. Biarkan sehingga kering. Amalkan pada setiap malam sehingga melihat perubahannya.

Hilangkan rekahan pada tumit.

Ramas beberapa helai daun pisang kering didalam sedikit air. Kemudian, gosokkan pada bahagian tumit yang merekah. Ia juga boleh digunakan untuk mengosok pada seluruh tubuh badan terutamanya bahagian berdaki. Jika diamalkan, kulit bukan sahaja tampak bersih, bahkan bertambah halus.

Air teh lembutkan rambut

Rendam satu sudu teh atau satu uncang teh ke dalam secawan air panas. Selepas air agak suam, tuangkan pada keseluruhan rambut yang telah dibasahkan. Gosok keseluruhan rambut dan biarkan selama 10 ke 15 minit. Selepas itu, bilas dengan air bersih dan keringkan seperti biasa. Lakukan beberapa kali hingga melihat hasilnya.


SUMBER MAJALAH HARMONI.

15 Jun 2011

7 hari mencintaiku

Assalamulaikum

novel terbaru yang cik ton beli masa pesta buku itu hari, semalam baru habis baca.
Okay la jalan ceritanya tak boring...

sinopsisnya
Khuzairi, dalam diam mencintai gadis bernama Mia Adriana. Cinta pandang pertama menjadikan dia seorang perindu yang setia. Namum sifat angkuh dan sombong gadis ini menyebabkan Khuzairi tidak pernah walau sebesar hama jua menyimpan impian untuk memilikinya...

Lupakah Mia Adriana, hidup ini bagaikan putaran roda, satu waktu keangkuhan dan kesombongan itu akan memamah dirinya sendiri, berdoalah, dikala keinsafan menjelma nanti, cinta lelaki bernama Khuzairi ini belum terpadam lagi buat dirinya.

14 Jun 2011

Bercanda di tepian pantai









Umairah dan Ain ditepi pandai PD....

Yang pasti selepas habis mandi...ibu" umairah lebih suka lagi mandi di swimming pool"

13 Jun 2011

Suami membantu

Assalamualaikum

Hari ni hari pertama sekolah dibuka setelah bercuti selama 2 minggu dan hari ni hari pertama kami semua bangun tanpa bibik pagi tadi, setakat ni ok lagi sebab hari ni cik ton bercuti, tak tahu la besok macam mana sebab cik ton dah kerja, jadi start pagi esok suami akan ambil alih siapkan umairah pergi sekolah, cik ton nak ambil halfday setiap hari sepanjang 3 minggu ni, suami tak kasi dia kata dia boleh handle, kalau dah tak boleh sangat baru la ambil cuti dia cakap...

Entah la ek, tapi hati cik ton ni macam ragu-ragu je, rasa kesian pada suami pun ada, tapi dalam masa yang sama fikir pulak, biar je la pandai-pandai la dia nak handle anak-anak dia...issh..issh susah sungguh ada rasa macam ni....kata orang kampung cik ton "berbelah belih". Tapi Insyaallah...sebab ain pun boleh bantu ayah dia..bukan la susah sangat pun sebab umairah dah besar,tapi tu la cik ton tetap gak rasa dia kecik, tu yang jadi risau aje, sebab umairah ni perangai dia suka ambil mudah


Kena tunggu esok pagi la tengok macam mana, dan nak tau hasilnya kena tunggu petang,sebabcik ton pagi-pagi lagi dah bye-bye pergi kerja, jadi tak sempat nak tengok cara suami ikatkan rambut dan pakaikan tudung umairah..

Besok malam cik ton update lagi..insyaallah.

Jagung

Assalamulaikum

rasanya semua suka makan jagung rebuskan. Malam ni lepas makan nasi cik ton makan pulak jagung rebus, benda yang wajib dibeli setiap kali kepasar malam. Anak- anak cik ton semua suka jagung, Amalina pelik sikit sebab suka bau jagung rebus, tak tau la kenapa...yang pasti setiap kali nak makan jagung rebus mesti kena hidu dulu. Ain lebih suka bubur jagung dan cucur jagung, kalau umairah memang ikut cik ton semua makan. Sedapkan kalau dibuat bubur, lemak dan manis je rasa..perrgh... Kalau masak nasi jagung pun sedap.

Cakap pasal makan jagung rebus ni, mak cik ton memang suka jagung rebus, mak makan tak macam cik ton, mak selalunya akan kutis jagung tu sebiji-biji sampai bersih tungkul jagung tu memang sabar tengok mak makan jagung, cik ton pun kadang kala ikut jugak tapi penat rasa sebab lambat. Dulu masa tinggal dikampung mak ada tanam jagung yang dipanggil jagung pulut, rasanya lebih sedap lagi dari jagung manis, tapi nak tunggu untuk dipetik lambat, sebab tu sekarang susah nak jumpa lagi jagung pulut.

9 Jun 2011

17 juta

Assalamualaikum

Kalau la kita ada sebanyak tu kan...emmmm...kayanya cik ton....tak payah penat-penat pi kerja.....

Hakikatnya tu adalah gaji bibik untuk tahun ini.....17juta rupiah = RM 6035.00

Tadi cik ton sekeluarga hantar bibik ke LCC, tahun ni bibik bercuti awal sebab anak dia nak kena buat rawatan mata dan tahun ni juga bibik bercuti panjang selama 3 minggu. Nampaknya start besok ain dan umairah pun kena la berdikari, kena tolong ibu....

Untuk ain cik ton tak risau sebab dia dah besar, cuma umairah je la yang cik ton runsing sikit sebab dia kena bangun pagi untuk kesekolah agama, cik ton pulak seawal pagi dah nak gerak pergi kerja.....kelam kabut sikit la rasannya sehari dua nak adjust masa bangun umairah, selalunya dia bangun pukul 6.15 dan bibik yang tolong menyiapkan dia, nampaknya start hari isnin ni kena dia bangun lebih awal lagi untuk membolehkan cik ton siapkan dia, untuk sekolah agama ok la sebab pakai tudung , yang jadi masalahnya sekolah petang, sebab rambut dia panjang nampak gayanya si ayah la yang tukang ikat rambut selama 3 minggu ni...harap-harap ayah pandai la ikat rambut anak.

Cik ton ingat nak kerja separuh hari sepanjang bibik cuti ni, tapi tadi suami cakap tak payah, insyaallah dia boleh handle. Alhamdulillah la sebab suami cik ton ni berkerja sendiri jadi ada la masa dia nak uruskan anak.Tapi kita tengok la macam mana ye,sebab cik ton rasa macam nak kena jugak ambil cuti sehari dua.




*hidup ini indah tapi tafsiran kita berbeza.

4 Jun 2011

Pi mai pi mai tang tu

Assalamualaikum





 rancangan TV yang paling cik ton minat dulu, rasanya semua orang macam tu kan sebab dulu hanya ada TV1, TV2 dan TV3 sahaja dan ketika itu hanya TV3 sahaja yang banyak rancangan dan agak up to date sikit.

Sekarang dapat jugak tengok semula rancangan yang cik ton minat tu, sekarang ni anak-anak cik ton pulak minat pi mai pi mai tang tu, terutamanya ain..siap ketawa besar. Macam tu jugak dengan cerita P Ramlee yang komedi la tengok berulang kali pun tak pernah dia jemu.







Tempahan

Assalamulaikum

Kepada sahabat-sahabat cik ton yang memerlukan photographer untuk majlis- majlis seperti perkahwinan dan sebagainya boleh la menghubungi no telepon  ini 013 6959455. Harga boleh dirundingkan.

LinkWithin