3 Aug 2011

10 tip Menangani Berbelanja Di Musim Perayaan

      Setiap kali tibanya musim perayaan, kita pasti akan memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli pakaian baru, perhiasan rumah serba baru dan menyajikan hidangan yang enak. Fenomena ini seolah-olah menjadi satu kemestian bagi masyarakat kita sejak dahulu lagi.
      Kita haruslah bijak menangani perbelanjaan agar tidak berdepan dengan beban kewangan selepas musim perayaan berakhir. Sebelum membeli belah ada beberapa perkara yang perlu kita tahu dan diberi perhatian.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian:

1. Rancang dan senarai barangan.
        Senarai barangan ini penting bagi memudahkan urusan pembelian ketika berada di pasar raya kelak. Selain menjimatkan masa, ia juga boleh mengelakkan anda daripada membeli barangan yang tidak diperlukan.

2. Elak membeli secara spontan
         Biarpun anda sering berkunjung ke pasar raya, elakkan daripada membeli barangan secara spontan. Walaupun ia nampak menarik di mata, fikirkan secara mendalam akan kepentingannya sebelum membuat keputusan.

3. Ikut kemampuan & jangan bersaing
         Usah terpengaruh dengan corak perbelanjaan rakan atau jiran anda. Tahap kewangan dan tanggungan kita sememangnya berbeza. Berbelanjalah mengikut kemampuan dan bukan atas tujuan menunjuk-nunjuk. Istilah dengki atau bersaing harus dibuang agar tidak melampaui tahap kewangan anda.

4. Elakkan berhutang
         Ramai yang gemar berhutang terutamanya ketika membeli perabot dan perhiasan rumah. Sikap ini haruslah dihentikan kerana dikhuatiri anda gagal untuk melunaskannya dalam masa terdekat.

5. Guna kad kredit secara bijak
         Penggunaan kad kredit sememangnya selamat tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak. Namun berhati-hati menggunakannya. Pastikan jumlah perbelajaan menerusi kad kredit dibuat berdasarkan kemampuan anda. Seterusnya wajibkan diri anda untuk melangsaikan hutang kad kredit tersebut pada keesokkan hari bagi mengelakkan dikenakan caj perkhidmatan.

6. Beli ikut kesesuaian
       Bagi pakaian anak-anak, beli dalam saiz yang besar sedikit kerana faktor tumbesaran mereka yang cepat meningkat. Pastikan pakaian tersebut juga berkualiti dan tidak mudah koyak atau lusuh agar ia boleh dipakai berulang kali biarpun selepas perayaan kelak.

7.  Jangan terpengaruh dengan iklan
       Apabila musim perayaan, iklan juga bermaharajalela. Ketika ini pelbagai barangan dengan harga menarik ditawarkan. Jangan mudah terpengaruh dengan iklan yang dipaparkan. Kenal pasti terlebih dahulu akan kepentingannya sebelum membeli.

8.  Ganti perhiasan yang perlu sahaja
         Perabot, langsir, permaidani dan cat merupakan antara perkara yang sering diganti setiap kali musim perayaan. Namun, tidak semua perhiasan ini harus dibuang selagi ia masih kelihatan cantik. Gunakann kreativiti anda untuk menjadikan ia lebih menarik misalnya menjahit juraian kristal pada langsir lama anda.

9. Usah terlalu teruja membeli juadah raya
         Ketupat, rendang, biskut , kek dan sebagainya merupakan menu wajib yang sering disajikan di Hari Raya. Namun elakkan daripada membeli atau menyediakan juadah ini secara berlebihan sehingga berlaku pembaziran.

10. Jangan masak berlebihan
         Cuba anggarkan jumlah tetamu yang akan mengunjungi anda dan masak sekadar diperlukan sahaja. Jika perlu simpan stok makanan mentah yang boleh dimasak segara terutamanya ketika menerima kunjungan tetamu yang tidak disangka-sangka.


(SUMBER DARI HARMONI)

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin