18 Jul 2012

4 Mitos Puasa Yang Merunsingkan Wanita

1. MEROSAKKAN KULIT 
Kurang pengambilan cecair sewaktu berpuasa memang memberikan efek negatif pada  kulit individu. Kulit akan menjadi sedikit kering namun ia sama sekali tidak akan merosakkan kulit. Masalah kulit dan bibir kering akibat berpuasa boleh diatasi dengan mengamalkan perngambilan cecair atau minuman yang mencukupi iaitu enam hingga lapan gelas sehari. 
    Minumlah segelas air secara perlahan sewaktu berbuka puasa. Setelah memakan pemanis mulut, usahakan untuk meminum segelas air lagi. Selepas memakan makanan utama, usahakan untuk minum setidak-tidaknya dua gelas air. Pastikan anda minum segelas air lagi sebelum tidur.  Ketika sahur, minumlah sekurang-kurangnya dua gelas air. Segelas sewaktu selesai makan sahur dan segelas lagi sebelum tamatnya waktu imsak. 
    Jika beriadah, jangan lupa untuk menggunakan pelembap kulit dan bibir terutama jika melakukan aktiviti di ruangan yang berhawa dingin. Pastikan anda mengenakan kembali pelembap kulit selesai berwuduk dan bersolat. Penggunaan pelembap dapat menjaga kadar air kulit dn mencegah pengewapan berlebihan agar kulit sentiasa lembap dan terhindar daripada kekeringan. 

2. MENJEJASKAN PENGHASILAN SUSU 
    Ibu yang sedang menyusukan bayi memang tidak diwajibkan berpuasa oleh agama. Namun itu bukan bermakna bahawa ibadat puasa memberi kesan buruk pada kesihatan mahupun penghasilan susu badan. Berhenti berfikir bahawa ibadat puasa dapat menjejaskan penghasilan susu badan. Ini kerana kajian kesihatan menunjukkan bahawa berpuasa selama 20 jam tidak membawa sebarang kesan kepada penghasilan susu wanita. Cuma ibu yang terlibat perlu mengambil minumam bernutrien seperti jus buah-buahan segar, kacang soya, yogurt atau air barli sewaktu berbuka puasa bagi menghindarkan dehidrasi atau penghidratan. 
    Para ibu digalakkan untuk meminum sekurang-kurangnya 8 sehingga 12 gelas minuman untuk mendapatkan kembali nutrien dan cecair yang diperlukan oleh tubuh bagi menghasilkan susu sebelum berpuasa semula. Namun pengambilan minuman sahaja tidak mencukupi, kaum ibu perlu mendapatkan nutrien, kalori dan pepejal daripada makanan dengan  mengambil 400 hingga 500 kalori tambahan setiap hari sewaktu menyusukan pada bulan Ramadhan. Selain itu para ibu juga disyorkan untuk meminum dan memakan makanan yang memiliki indeks glisemik rendah sewaktu bersahur bagi memastikan diri sihat bertenaga ketika berpuasa. 

3. MEROSAKKAN DIET 
    Ada individu berasa gusar dengan kedatangan bulan Ramadhan yang dikatakan mampu merosak diet dan menaikkan lagi berat badan mereka. Situasi ini lazimnya terjadi di kalangan individu yang menjadikan di kalangan individu yang menjadikan waktu berbuka sebagai waktu untuk membalas dendam. Mereka akan memakan pelbagai jenis makanan mengikut nafsu. Padahal puasa boleh menjadi pola diet yang cukup berkesan. 
    Jika dilakukan dengan  betul puasa mampu menurunkan berat badan sekurang-kurangnya empat kilogram sebulan. Caranya adalah dengan memilih pola makan yang tepat ketika bersahur dan berbuka. Justeru usahakan untuk bersahur kerana ia mampu membekalkan gizi makanan yang tidak anda peroleh di siang hari. Menu sahur haruslah berkhasiat dan seimbang dalam kuantiti yang mencukupi bukan terlalu kenyang. 
    Ketika berpuasa, cubalah untuk tetap beraktiviti. Paling utama jangan bersikap balas dendam saat  berbuka. Balas dendam hanya akan menimbunkan kalori yang telah anda buang waktu berpuasa. Ingat berbukalah dengan menu seimbang yang secukupnya bukan berlebihan. Berlatihlah mengawal nafsu makan dan memperbanyakkan ibadat. Dengan itu pahala dapat tubuh pun sihat. 

4. GANGGUAN PENCERNAAN 
    Gastrik dan pedih ulu hati antara penyakit yang sering melanda individu saat berpuasa. Rasa panas di hulu hati yang disertai kram pada otot perut lazimnya akan dirasai jika anda tidur sebaik sahaja selesai makan sahur. 
    Penyakit-penyakit itu boleh diatasi jika anda memahami cara kerja saluran pencernaan anda. Bagi penghidap gastrik, minumlah ubat gastrik saat berbuka dan bersahur. Jangan terus mengambil makanan berat sewaktu berbuka kerana perut yang kosong tidak bersedia untuk menerima makanan dalam jumlah yang banyak. Sebaiknya pilih hidangan pembuka yang ringan seperti semangkuk bubur atau segelas susu. 
   Selain itu hindari makanan dan minuman yang mampu merangsang gas seperti makanan masam atau minum kafein ketika sahur. Dengan pemakanan yang betul, individu bukan sahaja terhindar daripada gangguan pencernaan, malah saluran pencernaan yang berehat selama 14jam saat berpuasa turut menjadi lebih bersih dan sihat sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud " perut ialah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat" 

(Sumber Majalah Harmoni)

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin