17 Jul 2012

MISTERI KEHILANGAN JUWITA


SABAN hari, semakin banyak kes kehilangan wanita atau gadis remaja yang dilaporkan menerusi berita perdana di kaca televisyen. Ada yang berjaya ditemui semula, dan ada pula yang terus menghilang tanpa sebarang berita. 

Mendapat inspirasi dari berita-berita yang dilaporkan, Mana Hilangnya Juwita mungkin dapat memberi gambaran tentang situasi keluarga apabila ada yang keluar mencari mangsa yang hilang. 

“Mana Hilangnya Juwita memang mengambil inspirasi daripada kes-kes kehilangan wanita atau gadis yang kerap dilaporkan melalui televisyen. Kami bersimpati dengan kes sebegini dan mula mencetus idea tentang cerita ini. 

“Namun, bukan keseluruhan cerita ini tentang kehilangan gadis. Ada juga kisah-kisah lain yang diselit dan ditambah bagi menarik perhatian penonton.

 “Mungkin ia akan menyentuh sensitiviti sesetengah masyarakat namun, ia akan memberi pengajaran kepada mereka di luar sana supaya lebih berhati-hati,” ujar pengarah, Joeza Rasidi ketika mengadakan sidang akhbar drama bersiri tersebut di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. 

Apa yang menariknya, drama 15 episod terbitan produksi Padi Pictures Sdn. Bhd. ini dibarisi oleh gandingan mantap pelakon-pelakon lama dan baharu yang tidak kurang hebatnya. Antara pelakon gred A yang ditampilkan ialah Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida, Zahiril Adzim dan Lisa Surihani. 

Antara pelakon lain yang turut menjayakan drama ini termasuklah Azhan Rani, Syazwan Zulkifli, Raja Ilya dan Diana Johor. 

Menurut pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira atau lebih mesra disapa sebagai Erra, ini merupakan kali pertama dia memegang watak seumpama ini sepanjang karier lakonannya. 

“Pada mulanya saya hanya mengetahui, watak saya iaitu Dewi Serena merupakan seorang wanita yang memiliki agensi peragaan sahaja. Namun, setelah membaca skrip penuh, baru saya tahu bahawa Dewi Serena menjalankan bisnes sampingan iaitu menjual gadis-gadis muda,” ujar Erra yang kurang gemar memegang watak sebagai wanita penggoda atau jahat. 

Tambahnya, ia juga merupakan cabaran bagi dirinya memegang watak sebegini. Selain itu juga, dia juga berhadapan dengan cabaran bagaimana ingin menonjolkan watak tersebut kerana Dewi Serena tidak muncul dalam banyak babak. 

Lain pula pendapat Zahiril yang memegang watak sebagai rakan Anggun, lakonan Lisa Surihani. Dia memberitahu menerima tawaran membawa watak Haider kerana tiga sebab. Ia termasuklah jalan cerita itu sendiri, para pelakon hebat yang membarisi drama ini serta isu kehilangan wanita yang semakin berleluasa. 

Mana Hilangnya Juwita mengisahkan tentang Anggun yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari adiknya Juwita yang tidak dapat dihubungi. Sepanjang perjalanan mencari adiknya itu, dia telah melalui kejadian yang membahayakan dirinya sendiri sehingga tiba di balai polis. 

Dalam pencariannya juga, Anggun melalui pelbagai pengalaman dan mula menjejaki aktiviti adiknya sepanjang berada di Kuala Lumpur. Namun, walau apa pun yang berlaku, Anggun tidak pernah berputus asa mencari adiknya yang hilang itu. 

Mana Hilangnya Juwita yang mula bersiaran pada 9 Julai lalu ditayangkan setiap hari Isnin pukul 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104).

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin