6 Aug 2012

PEKERJA MUKMIN SEBENAR AKAN BERJAYA DUNIA AKHIRAT


Dan katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka ALLAH dan RasulNYA  serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”
( Surah Taubah : 105)

1)        Sebagai orang Islam, pekerja dan petugas Islam, mestilah memiliki jatidiri sebagai muslim. Setiap individu perlu kepada pembentukan jatidiri umat Islam itu sendiri, mestilah mempunyai ciri-ciri sakhsiah Islamiah. Daripada individu-individu yang memilki sakhsiah Islamiah inilah maka terbentuk jatidiri organisasi atau umat yang melahirkan suasana aktif untuk bergerak maju dan mencapai keharmonian dalam pekerjaan dan dalam hubungan sosial. Suasana harmoni, stabil dan mempunyai suasana bekerja yang aktif adalah syarat bagi peningkatan produktiviti dan penambahan kualiti sesuatu produk. Keadaan di mana ia mendorong kepada kemajuan dan kejayaan.

2)        Firman ALLAH “Bekerjalah” merujuk kepada semua jenis pekerjaan dan ia dalam bentuk kata perintah yang bererti suruhan. Maka Islam menolak semua jenis sikap malas tanpa pekerjaan, sebaliknya menyuruh umatnya bekerja dengan apa jua yang selari dengan perintah ALLAH dan menjauhi laranganNYA.  

3)        Selain itu suruhan bekerja tidak dibiarkan begitu sahaja, ia diikuti dengan pemerhatian, pemantauan dan pengawasan daripada ALLAH RasulNYA (Muhammad SAW) dan orang-orang yang beriman. Dengan adanya pemantauan itu seorang muslim tidak akan tergamak bekerja secara malas, khianat dan merugikan majikannya. Dia akan merasa malu, takut dan bertanggungjawab kepada ALLAH, Rasulullah dan sesama umat Islam. Dia mengetahui dirinya akan dikembalikan kepada ALLAH pada Hari Akhirat kelak dan ALLAH akan mengkhabarkan setiap kerjanya di mahkamah ALLAH ketika berada di Padang Mashyar nanti.

4)        Perkara penting dan asas utama untuk menjadi pekerja mukmin ialah hendaklah seorang pekerja yang cemerlang menjaga hubungannya dengan ALLAH SWT. Janganlah sibuk bekerja hingga lupa untuk beribadah kepada ALLAH SWT.

5)        Justeru, jika kita seorang pekerja mukmin yang benar sepertimana yang dinyatakan , maka pasti kita bekerja dengan penuh komitmen menepati citarasa dan acuan Islam, kita bakal dinobatkan sebagai mukmin yang cemerlang dunia dan akhirat di mata dunia serta disisi ALLAH SWT.  Oleh kerana itu, kita juga hendaklah sentiasa menyedari hakikat diri dan tanggungjawab kita sebagai khalifah ALLAH di muka bumi ini agar seluruh kehidupan kita tidak menjadi sia-sia. WALLAHU’ALAM

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin