22 Nov 2012

Fikir-fikir dulu

 Sebelum mengeluh terlalu sibuk hinggakan tiada masa untuk bersarapan, fikir lah dulu. Hakikatnya keburukan tidak mengambil sarapan lebih serius daripada yang disangka. Jika tidak mengambil sarapan, kita akan kekurangan tenaga dan daya tumpuan sekaligus menyebabkan kita mudah naik angin dan cepat merengus. 
    Alasan yang dinyatakan dibawah sering kita dengar di kalangan mereka yang mengabaikan sarapan. Berikut disertakan cadangan untuk mengatasinya. 

1. Saya tidak ada masa untuk bersarapan. 
    Dalam kesibukan mengejar masa bergegas ketempat kerja pada waktu pagi, bukan saja hendak menyediakan sarapan, mahu duduk untuk makan pun tiada masa. 
 Cadangan:  Makan dalam perjalanan ke tempat kerja. Simpan stok makanan 'senang dibawa' di dapur. Anda juga boleh lalu di tempat yang ada menjual sarapan dan membelinya dalam perjalanan ke tempat kerja. 

2. Saya sentiasa lewat sampai ke tempat kerja. 
     Dalam kesibukan setiap hari terutama jika anda berkerja di ibu kota, kelewatan bangun walaupun 10 minit boleh menyebabkan anda lewat satu jam ke tempat kerja. 
Cadangan :  Tidur setengah jam lebih awal dan bangun setengah jam lebih awal supaya anda ada sedikit masa untuk bersarapan. Ini juga membolehkan anda memulakan hari anda dengan lebih tenang dan tidak perlu tergopoh gapah dari saat anda mencelikkan mata. 

3. Saya jaga diet. 
    Ramai orang menyangkakan mereka tidak patut bersarapan untuk mengurangkan kalori. Mengabaikan sarapan menyebabkan anda mungkin sukar mencapai matlamat menurunkan berat badan kerana ia hanya membuatkan anda lebih lapar dan lebih cenderung mengambil makanan dan snek tidak menyihatkan. 
   Ini sering menjerat diri sendiri kerana anda akan makan lebih pada waktu makan tengah hari. 
Cadangan :  Ambil sarapan yang bukan saja sihat, berkhasiat dan disediakan segar, tetapi juga mengenyangkan, membekalkan nutrien dan membolehkan anda bertahan hingga waktu makan tengah hari. 

4. Saya tidak ada selera untuk makan atau minum di waktu pagi. 
     Alasan ini tidak berasas kerana daripada segi psikologu badan meminta makanan untuk membolehkan anda bergerak cergas. Anda baru saja bangun daripada tidur selama lapan jam tanpa makanan. 
     Bayangkan apa yang anda akan lalui jika tidak makan dan minum selama lapan jam lagi, sudah tentu perut anda berkeroncong menyebabkan anda merengus dan cepat naik angin. 
Cadangan : Ketahui dan fahami kepentingan bersarapan. Anda perlu mendapat tenaga melalui sarapan diperlukan badan dan otak sepanjang hari. 

5. Saya tidak ada mood hendak masak atau menyediakan makanan di awal pagi. 
     Perasaan ini memang boleh  difahami kerana selepas dikejutkan oleh deringan kuta bunyi jam, anda tentu malas gendak ke dapur apatah lagi memasak atau menyediakan sarapan. 
     Malah, ada antara anda yang mungkin tidak kuasa membuka almari atau peti sejuk untuk mengeluarkan makanan, kemudian membasuh pinggan mangkuk dan cawan selepas sarapan.
Cadangan : Jangan sepahkan dapur. Anda boleh terus mengunjungi kedai untuk membeli sarapan. 

    Pada zaman serba moden ini, memang tidah susah untuk bersarapan. Tiada masalah yang tidak boleh diatasi. Anda hanya perlu menguatkan hati dan membulatkan tekad, mengubah sikap dan menyendari pentingnya sarapan sebagai makanan pertama untuk memulakan hari anda. Sarapan yang baru disediakan bukan saja menyelerakan dan seronok dimakan, tetapi juga membekalkan tenaga kepada badan. Ia meningkatkan metabolisme badan seterusnya membantu untuk membakar lebih banyak kalori. 
    Selain membantu menguruskan berat badan, hasil kajian baru-baru ini juga menunjukkan sarapan yang sihat sedikit sebanyak membantu mengurangkan risiko sakit jantung dan diabetes yang ada kaitan dengan tahap kolesterol dan insulin darah. 
    Petua orang tua-tua, satu daripada rahsia kekal sihat ialah jangan lupa mengambil sarapan. Petua dan tabiat ini patut disemai dan diamalkan setiap pagi. 
    Justeru walau sesibuk mana anda tergopoh gapah setiap pagi meredah kesesakan lalulintas atau menghantar anak ke sekolah. luangkan masa mengambil sarapan biarpun ini bermakna anda mengorbankan 15 minit terakhir masa tidur anda kerana ganjaranya tidak ternilai. 

(Sumber harian metro) 

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin