31 Dec 2012

Dato` K Selamat Pulang, Siti Nurhaliza Mohon Diberi Ruang

Kuala Lumpur, 31 DIS 2012: Kenyataan media ini bertujuan untuk memberikan penjelasan kepada pihak media dan orang ramai yang bertanyakan mengenai perkembangan Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa berikutan kemalangan yang menimpa beliau pada 13 Disember, di Queenstown, New Zealand.

Isteri kepada Dato' Seri Khalid (atau juga dikenali Dato' K) iaitu Datin Sri Dato' Siti Nurhaliza dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa beliau dan suami telah pun selamat pulang ke tanah air sejak 29 Disember lalu setelah lebih dua minggu berada di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand.

Sejak Dato' K ditimpa kemalangan sewaktu menunggang motorsikal Harley Davidson dan mendapat rawatan di Invercargill, pihak media khususnya sentiasa menanti perkembangan terkini beliau daripada pihak keluarga mahupun Dato' Siti Nurhaliza sendiri.

Justeru, menerusi kenyataan hari ini, Dato' Siti Nurhaliza berasa sangat bersyukur ke hadrat Illahi kerana kondisi suaminya kala ini kembali pulih dan sedang mendapat rawatan fisioterapi di atas kecederaan tangan yg dialami beliau.

Menurut Dato Siti, memandangkan suaminya masih lagi mendapatkan rawatan akibat kemalangan tersebut, beliau akan menumpukan sepenuh perhatian untuk sentiasa berada di sisi suaminya.

Oleh yang demikian, pihak Dato' Siti Nurhaliza dan keluarga sangat berharap agar mereka diberikan ruang dan masa untuk menghadapi situasi ini sehingga Dato' K pulih.

Dato' Siti juga memohon kemaafan kerana pihak beliau tidak dapat memenuhi permintaan media dan pihak-pihak lain yang mahu mendapatkan kenyataan secara langsung daripada beliau ataupun menemui Dato' Khalid sendiri tetapi berharap agar kenyataannya hari ini akan diterima ramai.

Dato' K yang masih menjalani beberapa rawatan susulan pada masa ini dinasihatkan oleh pihak doktor untuk berehat dan juga menghadkan kehadiran tetamu yang melawat hanya di kalangan keluarga terdekat sahaja.

Dato' Siti Nurhaliza dan seluruh keluarga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan keprihatinan semua pihak untuk Dato' K segera pulih. Adalah diharapkan agar kenyataan ini dapat menjelaskan keadaan Dato' K sekeluarga buat masa ini- MURAI

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin