30 Dec 2012

Rahsia Kurus Beyonce

Dalam satu temu bual laman web, Beyonce, 27, anak kepada pengurus rekod yang ternama, Mathew Knowles memberitahu untuk kelihatan kurus serta seksi, dia tidak mengamalkan pengambilan pil atau menjalani rawatan di pusat kecantikan.

Sebaliknya, Beyonce akan meluangkan masa berjam-jam di pusat membeli-belah hanya untuk membeli baju yang bersaiz kecil.

Kata penyanyi cantik ini, dengan membeli baju yang bersaiz terlalu kecil bukan saja boleh menampakkan susuk badannya yang seksi itu, malah ia adalah motivasi untuk dia menguruskan badan.

Pelik, tetapi itulah yang dipratikkan oleh penyanyi yang terkenal dengan lagu If I Were A Boy ini. Biasalah, bila sudah jadi artis terkenal, apa saja sanggup dilakukan untuk sentiasa berketrampilan cantik di mata ramai.

“Saya akui bukan satu perkara mudah untuk menjaga penampilan badan. Banyak yang harus saya lakukan untuk memastikan badan yang langsing ini terus berkekalan.

“Disebabkan itu, saya perlu mempunyai matlamat hidup untuk sentiasa menjaga badan agar ia langsing seperti sebelumnya.

“Lagipun, apabila memakai baju yang bersaiz terlalu kecil dari ukuran badan sebenar akan membantu kita membataskan jumlah pemakanan yang diambil. Ini secara tidak langsung, akan membantu proses diet saya,” katanya.

Walaupun matlamatnya ingin mengurangkan berat badan beberapa paun, Beyonce, yang mengahwini penyanyi lagu rap Jay-Z, mengakui dia tidak senang hati apabila berjaya menghilangkan 15 kilogram ketika memegang watak Deena Jones dalam ‘Dreamgirls’.

“Bila dapat kurangkan 15 kilo, saya lihat diri sangat bergaya, persis model. Bagaimanapun, selepas beberapa kali melihat cermin, saya tidak fikir ia seksi atau nampak feminin. Malah, membuatkan keyakinan saya goyah.

“Bagi saya, terlampau kurus sangat pun tidak sesuai kerana tidak cantik. Justeru, saya ingin tampil dengan berat badan yang sesuai dengan ketinggian,” katanya.

Walaupun ketika ini dia adalah antara wanita yang mempunyai potongan badan paling cantik di dunia, penyanyi lagu Helo ini mengakui yang dia juga pernah mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.

“Sudah tentu saya pernah berpengalaman menghadapi hari-hari buruk dalam kehidupan. Malah, saya sendiri tidak pernah menyangka yang satu hari nanti saya akan dikenali antara wanita yang mempunyai bentuk badan langsing dan seksi.

“Apatah lagi, tubuh badan saya sangat montel dan hodoh ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Tambah teruk lagi, apabila memakai seluar.

“Saya terpaksa bergelut dengan cuba menahan nafas sekuat-kuatnya supaya perut kempis sebentar untuk membolehkan seluar itu dipakai.

“Ada ketikanya, kerana kemontelan, keluarga terpaksa membaringkan saya di atas lantai dan cuba menutup zip seluar.

“Disebabkan terlalu gemuk, perbuatan itu memerlukan tiga atau empat orang. Bila teringat kembali, memang kelakar dan membuatkan saya tersenyum sendirian,” katanya.

Biarpun pengalaman itu mampu membuatnya tersenyum, tetapi penyanyi berzodiak Virgo ini mengakui yang dia pernah mengalami saat kecewa kerana tidak berpeluang membesar seperti remaja lain.

“Ada ketikanya, saya sedih bila mengingatkan kembali zaman remaja. Ketika semua kawan-kawan perempuan keluar bersama teman lelaki atau pergi menghadiri parti, saya hanya duduk di rumah.

“Biasalah. Mana ada lelaki yang ingin atau ajak keluar dengan perempuan gemuk dan montel. Bagaimanapun, bentuk badan saya sudah tidak seperti dulu dan saya gembira dengan kehidupan hari ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin