16 Feb 2013

Khasiat perencah

Halia 
      Mahu awet muda?. Halia muda mungkin dapat membantu. Halia memang banyak khasiatnya. Selain mengurangkan gejala demam, batuk, sesak dada, migrain, sengugut, sakit kepala, sakit gigi dan sakit tulang. Ia juga membantu mereka yang sakit perut. Selain itu ia juga membantu untuk meningkatkan pengaliran darah dengan lebih baik. Disebabkan mengandungi sejenis minyak bersifat antibakteria, ia boleh digunakan untuk memanaskan badan. 
       Ada juga yang merenehkan halia didalam air kira-kira 10 minit untuk diminum setiap pagi bagi membantu menyembuhkan penyakit. Hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia pula mendapati halia sesuai untuk membuang angin dalam badan, melawaskan pembuangan air kecil dan besar, membantu penghadaman, mengecutkan rahim, merangsang  pergerakan otot serta antikulat pada kulit seperti panau. 
       Walaupun secara umumnya halia diiktirap sebagai sumber selamat, ia boleh menimbulkan alahan untuk sesetengah orang misalnya ruam, pedih ulu hati, kembung, sendawa dan loya. 

Kunyit. 
     Kunyit hidup sering digunakan untuk memberikan warna kuning pada masakan. Ia tekenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India kerana khasiatnya selain dijadikan ubat pembersih dalaman badan serta mencantikkan kulit. 
     Bukan hanya buahnya saja yang menjadi perhatian malah daunnya dimanfaatkan sebagai ulam dan membangkitkan aroma wangi dalam masakan. Kunyit banyak digunakan wanita selepas bersalin selain menghilangkan selsema dan sakit perut yang dihadapi oleh kanak-kanak atau dewasa. 
     Digunakan sebagai ubat antigatal dan antikejang. Ia juga dapat mengurangkan bengkak serta selaput lendir didalam mulut menerusi jus kunyit. Berdasarkan perubatan Cina, akar kunyit digunakan sebagai ubat untuk sakit dada, perut, lengan dan sakit ketika datang haid serta luka. Bagi mereka yang mengalami masalah haid tidak teratur, ada yang menggunakan kunyit hidup sebagai penawar kerana ia membantu untuk melancarkan aliran darah yang bergumpal. 
     Kajian mendapati kunyit mempunyai sejenis bahan aktif dikenali sebagai curcumin dan jika diambil dalam dos yang tinggi, ia memberi kesan terapeutik untuk menentang keradangan. Kajian di India pula menunjukkan kunyit dapat membantu perokok mengurangkan bahan penggalak barah (carcinogen) yang terdapat dalam air kencing. 

Lengkuas. 
    Rupanya hampir sama dengan halia, kadangkala mengelirukan. Namun ia dibezakan melalui baunya lebih lembut serta tekstrurnya keras sedikit. Ia juga digunakan dalam masakan rendang, kari atau gulai untuk menghilangkan bau hanyir ikan, ayam dan daging. 
    Lengkuas banyak digunakan dalam masakan untuk wanita yang berpantang kerana ia dikatakan dapat membantu menghilangkan angin dan merangsang peredaran darah. 
    Selain itu ia juga membantu menambah selera makan, membersihkan darah, mencairkan kahak dan meransang otot. Kandungan antioksidan di dalam lengkuas membantu mengurangkan kerosakan disebabkan radikal bebas dan racun lain di dalam badan. 

Asam Jawa. 
    Asam jawa atau celagi ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan buah asam untuk kegunaan masakan. Selain di Malaysia, ia tumbuh secara semula jadi di benua Afrika. 
     Terdapat dua jenis buah asam jawa iaitu manis dan masam. Kandungan utama dalam asam jawa ialah asid, gula, vitamin B dan kalsium yang tinggi. Untuk tujuan komersial, didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah kembung perut. 
      Samada dimakan begitu saja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa berkesan dalam membantu mengatasi masalah penghadaman, penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi) menyebabkan ia sering diamalkan di beberapa negeri di India. Buah asam jawa boleh dimakan segar atau dijadikan jus minuman segar dicampur bersama air gula. Selain itu asam juga bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, acar, pembuatan sos dan bahann awet. 
      Bukan itu saja, asam jawa turut digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan atau bahan kumur mulut bagi mengurangkan sakit tekak. Daun asam jawa sama ada yang kering atau direbus juga boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. 

Cili padi. 
    Rasanya yang amat pedas namun ia disukai kerana dapat membangkitkan selera apatah lagi jika dibuat sambal, masak lemak, rendang, kerabu dan nasi goreng. Walaupun pedas ia juga mempunyai khasiat yang jarang diketahui seperti kaya dengan vitamin A,B,C, kompleks dan komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat serta karotin. 
    Tidak ramai yang tahu, cili padi juga boleh digunakan bagi menghilangkan bau hangit nasi yang menjadi petua nenek moyang. Bukan hanya penyedap dalam masakan, daun dan akarnya juga memiliki khasiat untuk membantu menyembuhkan bisul, luka, sakit sendi, sengal otot, bengkak, mengurangkan tekanan darah tinggi serta merawat cirit-birit. 

(sumber Metro) 

No comments:

Post a Comment

Cik Ton ucapkan ribuan terima kasih di atas kesudian anda meninggalkan komen.

LinkWithin